|
1. Bagaimanakah bentuk kurikulum Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS) PERMATApintar?
Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar adalah program berbentuk pengayaan dan pecutan
yang diadaptasi dari Program Musim Panas (Summer Camp) di Center for Talented Youth
(CTY) – John Hopkins University. Oleh itu, kurikulum kursus-kursus yang ditawarkan
adalah dari CTY tetapi diadaptasi mengikut Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan
kepada perkembangan holistik pelajar dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek
dan sosial pelajar. Kandungan kursus adalah di peringkat kolej atau universiti manakala
kaedah pengajaran mengambil pendekatan pembelajaran dua hala dan hands-on di mana
pelajar sendiri akan melakukan aktiviti-aktiviti dalam proses pembelajaran. Ini
bertujuan untuk memupuk pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning). Pendekatan
kuliah tidak digalakkan dan hanya dilakukan pada kadar minima (tidak lebih daripada
20 minit dalam satu-satu sesi pengajaran). Pelajar juga akan membuat pembentangan
di dalam bilik darjah. Di samping itu, kurikulum PPCS juga menekankan kemahiran
generik khususnya kemahiran komunikasi dan kepimpinan melalui Program Kepimpinan
dan Pengucapan Umum (Leadership and Public Speaking) yang dijalankan setiap hari
pada pukul 3 – 4 pm. Aspek fizikal, kesenian dan rohani pula dikembangkan melalui
aktiviti-aktiviti riadah dan keagamaan yang dijalankan pada waktu petang dan malam
(Sila lihat jadual harian dan ringkasan kursus).
2. Kelas yang diadakan akan diajar dalam Bahasa Inggeris , Bahasa Melayu atau gabungan
kedua-duanya sekali ?
Kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris akan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Peratus penggunaannya bergantung kepada bahasa
yang selesa digunakan oleh pelajar. Guru-guru akan mengadaptasinya mengikut keperluan
pelajar.
3. Bagaimanakah pelajar bagi setiap kursus dipilih?
Penetapan kursus adalah berdasarkan kepada (sila rujuk makluman am di www.permatapintar.edu.my)
1. Keputusan UKM2 pelajar
Nota: Keputusan pelajar dilihat dari aspek kemahiran bahasa (Verbal Comprehension
Index), Kemahiran penaakulan persepsi (Perceptual Reasoning Index : Math & Science),
dan kebolehan mengingat dan memproses maklumat (Working & Processing Memory Index)
2. Umur (Sekolah Rendah /Menengah)
Nota: Kursus yang ditawarkan juga dilihat dari aspek kesesuaian dengan umur pelajar.
3. Bilangan pelajar per kursus.
Nota: Bilangan maksimum pelajar bagi setiap kelas adalah seramai 15 orang dan bilangan
kelas adalah terhad kerana hanya 15 kursus yang ditawarkan.
4. Bagi penempatan asrama, berapa orang pelajar ditempatkan bagi satu bilik? Adakah
pelajar dikelaskan dan ditempatkan bersama rakan-rakan dari umur yang sama?
Seramai 2 orang pelajar akan ditempatkan di dalam satu bilik. Pelajar bagi setiap
bilik adalah dari umur yang sama.
5. Adakah pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit?
Pelajar TIDAK DIBENARKAN membawa telefon bimbit semasa sesi akademik (waktu
pembelajaran/ bilik darjah). Sekiranya pelajar didapati membawa telefon bimbit semasa
sesi akademik, pihak pengurusan PERMATApintar akan merampas telefon tersebut dan
hanya akan memulangkannya kepada pelajar di akhir program perkhemahan. Pihak PERMATApintar
tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan ataupun kehilangan telefon
bimbit. Pelajar dan Ibu bapa tidak digalakkan untuk menghubungi satu sama
lain kecuali hal-hal kecemasan. Sekiranya berlaku kecemasan, ibu bapa digalakkan
menelefon pusat PERMATApintar di nombor 03-8921 7503 (Cik Fairuz - waktu pejabat)
atau 013-2105970 (Pengurus Pejabat Borhanudin Helmi) atau 013-2105980 (Pengurus
Pejabat Ungku Omar) dan meminta petugas memanggil peserta untuk bercakap
dengan ibu bapa. Sila nyatakan nama peserta dan umur peserta bagi memudahkan petugas
mengenal pasti peserta.
6. Bolehkah pelajar menarik diri dari perkhemahan setelah mendaftar jika tidak dapat
menyesuaikan diri dengan perjalanan perkhemahan ini?
Pelajar TIDAK DIBENARKAN menarik diri apabila telah mendaftar untuk perkhemahan.
Sekiranya pelajar menarik diri setelah mendaftar, penalti untuk urusan pentadbiran
akan dikenakan. Sekiranya pelajar tidak benar-benar berminat, anda dinasihatkan
untuk menolak tawaran ini supaya tempat anda boleh ditawarkan kepada pelajar dalam
senarai menunggu (simpanan).
7. Adakah warden ditempatkan bagi menjaga pelajar di asrama?
Pelajar akan dijaga oleh Pembantu Pelajar (Residential Assistant) yang ditempatkan
di setiap aras asrama dan boleh dihubungi pada bila-bila masa oleh pelajar. Sekurang-kurangnya
2-3 orang Pembantu Pelajar akan ditempatkan bagi setiap aras.
8. Adakah pelajar perempuan dan lelaki ditempatkan di asrama yang berlainan?
Penempatan pelajar di setiap kolej adalah berdasarkan umur pelajar sama ada pelajar
tersebut dari sekolah rendah atau menengah. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan
mengikut blok.
9. Apakah jenis makanan yang disediakan kepada pelajar sepanjang perkhemahan?
Makanan untuk sarapan pagi, makan malam dan minum malam untuk pelajar sepanjang
program perkhemahan akan disediakan oleh pengendali makanan dari setiap kolej. Mankala
makanan untuk minum pagi (waktu rehat sesi pembelajaran), makan tengah hari dan
minum petang akan disediakan oleh caterer universiti kerana disediakan di Fakulti
di mana kelas pelajar berada. Pihak PERMATApintar akan memantau kualiti makanan
yang disediakan untuk pelajar. Pelbagai menu makanan akan disediakan bagi memberikan
pelajar pilihan. Pelajar diminta untuk memilih makanan dan mengambil jumlah yang
dirasakan boleh dihabiskan bagi mengelakkan pembaziran.
Pelajar akan dibekalkan air mineral pada hari pertama dan diminta untuk menyimpan
botol tersebut untuk kegunaan sepanjang perkhemahan. Ini bertujuan untuk pelajar
mengambil air dari water cooler yang akan disediakan di sekolah. Pelajar juga boleh
membawa botol air sendiri untuk mengambil bekalan air.
10. Apakah perbezaan di antara Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS) dan Program
Perkhemahan Sains dan Matematik (PPSM)?
Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS) adalah satu kem yang menawarkan 15 kursus
berbentuk pengayaan atau pecutan untuk pelajar dari umur 9-15 tahun. Manakala Program
Perkhemahan Sains dan Matematik (PPSM) pula adalah kem yang dianjurkan hanya bagi
pelajar yang berumur 15 tahun untuk kursus berasaskan Matematik dan Sains sahaja.
Pelajar yang berjaya di dalam Ujian Saringan UKM2 tahun ini ditawarkan untuk menghadiri
kedua-dua program PPCS dan PPSM.
11. Bagaimanakah maklumat berkaitan sinopsis dan ringkasan kursus boleh diperolehi?
Maklumat-maklumat berkaitan kursus boleh diakses setiap masa melalui website PERMATApintar
di www.permatapintar.edu.my. Maklumat-maklumat terkini dari pusat PERMATApintar
akan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa.
12. Apakah bentuk aktiviti yang akan diadakan pada hujung minggu (Hari Sabtu)? Adakah
aktiviti yang diadakan berasaskan aktiviti dalam kampus? Adakah pelajar dibenarkan
keluar kampus?
Di hujung minggu; hari Sabtu adalah hari untuk pelajar berehat. Aktiviti yang dijalankan
pada hujung minggu terpulang kepada pelajar. Pelajar juga boleh membuat aktiviti
yang dirancang bersama Pembantu Pelajar atau Pembantu Tenaga Pengajar. Walau bagaimanapun,
semua aktiviti adalah di sekitar kampus dan pelajar tidak dibenarkan keluar kampus
kecuali bagi aktiviti-aktiviti lawatan luar yang telah dirancang.
Hari Ahad adalah hari lawatan ibu bapa. Ibu bapa dibenarkan membawa anak keluar
sekitar UKM, Bangi atau Kajang. Ibu bapa mesti menghantar anak mereka pulang sebelum
pukul 7 malam. Urusan mengambil dan menghantar anak dilakukan di asrama penginapan
pelajar.
13. Adakah pelajar dibenarkan membawa laptop?
Pelajar tidak dibenarkan membawa laptop atau peralatan elektronik yang lain
(MP3,Walkman,PSP dll) atas dasar keselamatan. Dan bagi mengelakkan pembelajaran
mereka dari terganggu. Pelajar yang didapati membawa peralatan-peralatan tersebut
akan dikenakan tindakan dan alatan-alatan tersebut akan dirampas dan hanya dipulangkan
selepas tamat perkhemahan.
14. Adakah pelajar dibenarkan keluar bermalam dengan keluarga?
Pelajar tidak dibenarkan keluar bermalam dengan keluarga. Untuk maklumat
Jadual Hujung Minggu dan waktu melawat sila klik di sini...
15. Adakah pelajar dibenarkan memakai jean?
Pelajar tidak dibenarkan memakai jean semasa sesi pembelajaran. Pemakaian
jeans hanya dibenarkan pada hujung minggu semasa sesi lawatan ibu dan bapa.
16. Berapakah wang yang diperlukan oleh pelajar?
Pelajar hanya memerlukan RM80 sahaja.
1. RM30 untuk kegunaan sendiri termasuk bayaran dobi.
2. RM50 untuk pendaftaran alumni. Bayaran hendaklah dibuat pada hari pendaftaran
masuk ke PPCS.
Nota: Sekiranya pelajar membawa wang lebih daripada RM80, wang tersebut mestilah
diserahkan kepada Pembantu Pelajar untuk simpanan. Pelajar boleh meminta kembali
daripada Pembantu Pelajar jika diperlukan.
|