|
Ujian PERMATApintar UKM2 adalah ujian saringan kedua. Ia mempunyai 15 bahagian yang
menguji pelbagai aspek kepintaran kognisi termasuk aspek perbendaharaan kata, pencarian
simbol, pengulangan nombor, pemadanan pola atau bentuk, pemahaman dan koding. Untuk
menjalani ujian saringan ini, pelajar harus melepasi ujian saringan yang pertama
iaitu: Ujian PERMATApintar UKM1.
Untuk tahun 2011 ujian ini akan bermula pada 1 Julai - 25 Ogos 2011 di pusat-pusat
ujian yang akan dimaklumkan kemudian. Pelajar boleh menyemak sama ada layak atau
tidak menduduki ujian ini akan dimaklumkan melalui laman web mulai 7 Jun 2011. Pelajar
juga akan dimaklumkan tentang tempat-tempat ujian yang akan diambil. Ibu bapa dan
penjaga bertanggungjawab untuk membawa pelajar-pelajar ini ke pusat-pusat
ujian yang akan diberitahu kelak.
Ujian dalam talian ini dilakukan secara terkawal di pusat-pusat ujian, sama seperti
peperiksaan utama negara seperti UPSR, PMR dan SPM yang melibatkan Ketua Pengawas,
Pengawas dan Pemantau UKM dan KPM. Pengalaman kami di masa lepas, didapati terdapat
pelajar yang mengambil ujian ini bermasalah kerana semasa ujian saringan pertama
telah diambil oleh orang lain. Justeru, pihak PERMATApintar berharap, agar orang
dewasa (ibu bapa, guru atau kaum kerabat pelajar) tidak melakukan penipuan. Ia hanya
membazir masa, tenaga dan wang kerana pihak kami terpaksa mengatur pelajar yang
sebenarnya tidak layak menduduki ujian UKM2 ini.
Berdasarkan pemerhatian kami sebagai pemantau semasa ujian UKM2 dijalankan, pelajar
pintar cerdas tidak akan bertanya sebarang soalan kepada ketua pengawas, pengawas
atau pemantau. Mereka boleh memahami arahan ujian dan terus menjawab soalan.
Ujian UKM2 ini dijalankan selama 2 jam 30 minit. Sekiranya terdapat gangguan Internet,
maka masa tambahan akan diberi. Ketua pengawas, pengawas dan pemantau akan membantu
memindahkan pelajar ke komputer yang lain sekiranya terdapat kerosakan atau gangguan
teknikal dan masa tambahan akan diberi kepada pelajar jika perlu.
|