|
Ujian UKM1 adalah ujian IQ berbentuk ujian dalam talian yang boleh dicapai melalui
lawan web ukm1.permatapintar.edu.my.
Ujian ini mengukur kebolehan verbal melalui pembendaharaan kata dan penaakulan (reasoning)
secara logikal. Ia dibina oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia. Ujian saringan pertama PERMATApintar UKM1 ini adalah dalam
Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Ujian UKM1 merupakan saringan pertama untuk
pelajar menyertai program-program.
1. Perkhemahan Cuti Sekolah UKM-JHU pada Nov-Dis 2012 (3 minggu) di UKM (untuk pelajar
berusia 9-15 tahun sahaja)
2. Program PERMATA Insan 2012 yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia
(untuk pelajar beragama Islam berusia 8 tahun sahaja)
3. Program Pendidikan PERMATApintar (PPPP) iaitu sekolah khas pintar (untuk pelajar
tingkatan 3 pada tahun 2012 yang akan memasuki tingkatan 4 dalam PPPP pada tahun
2013)
Ujian UKM1 dibangunkan dan dilaksanakan secara dalam talian berasaskan web agar
proses pencarian pelajar pintar berbakat dapat dilakukan secara menyeluruh dalam
masa yang terhad dan tidak melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan ujian
bertulis. Dengan itu, ujian ini tidak dijalankan secara bertulis (kertas dan pensil).
Selain itu, ujian dalam talian ini dilaksanakan untuk membudayakan ICT dalam kalangan
pelajar sekolah.
Untuk tahun 2012, ujian ini boleh diambil dalam tempoh 3 bulan bermula 1 Feb 2012
dan berakhir 30 April 2012. Pelajar tidak dikenakan bayaran untuk mengambil ujian
ini. Tiada sekatan atau birokrasi untuk pelajar mengambil ujian sama ada di rumah,
di sekolah atau di mana sahaja asalkan boleh mencapai laman web ini.
Ujian ini digunakan untuk mengesan pelajar pintar berbakat di Malaysia seramai yang
mungkin dan meliputi seluruh negara supaya prinsip “no child is left behind” dalam
pencarian ini dapat didokong dengan sempurna. Oleh sebab itu, pihak sekolah, ibu
bapa dan kaum kerabat serta masyarakat Malaysia perlu menggalakkan pelajar-pelajar
mengambil ujian dalam talian ini. Jika tiada kemudahan kemudahan Internet, pihak-pihak
yang prihatin perlu membantu membawa pelajar ke pusat-pusat komuniti di desa yang
ada kemudahan Internet atau ke kafe siber dalam daerah masing-masing. Bagi pelajar
yang telah mengambil ujian ini pada tahun 2009, 2010 dan 2011, mereka perlu mengambil
ujian ini untuk mengikuti program-program pada tahun 2012. Pelajar akan dipilih
berdasarkan skor kelayakan mengikut peringkat umur dan tiada sistem kuota dari segi
jantina, bangsa, daerah, negeri dan jenis sekolah digunakan dalam pemilihan pelajar.
Untuk menggunakan ujian saringan peringkat pertama ini, pelajar hanya perlu tahu
perkara-perkara asas penggunaan komputer seperti: menggunakan tetikus dan papan
kekunci. Oleh kerana ujian ini adalah terbuka dan tanpa pengawasan, perlu diingatkan
bahawa pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain atau membuat
rujukan semasa mengambil ujian saringan ini. Ibu bapa atau orang dewasa yang lain
perlu menanamkan nilai murni KEJUJURAN kepada pelajar-pelajar ini. Setiap pelajar
hanya dibenarkan mengambil ujian saringan ini sekali sahaja. Pelajar akan diminta
memasukkan biodata mereka secara jujur sebelum memulakan ujian saringan ini. Maklumat
ini akan digunakan untuk menghubungi pelajar, sekolah dan ibubapa jika sekiranya
terpilih mengikuti saringan ujian UKM2 dan USIM-1 dan program-program yang ditawarkan.
Ujian saringan pertama ini sepatutnya diambil oleh pelajar tanpa persediaan dari
segi latihan tentang ujian tersebut sebagaimana dengan peperiksaan di sekolah kerana
pihak PERMATApintar dan PERMATA Insan ingin mengesan pelajar pintar berbakat semula
jadi (nature) dan dikembangkan (nurture) bakat mereka melalui program PERMATApintar
dan PERMATA Insan. Dengan itu, ibu bapa, guru dan kaum kerabat tidak perlu membantu
pelajar untuk menjawab soalan dalam ujian ini semata-mata untuk terpilih dalam program-program
yang disediakan. Orang dewasa yang terlalu mengharapkan pelajar-pelajar ini memasuki
program dengan membantu pelajar perlu sedar bahawa pelajar akan mengalami tekanan
emosi dan mental semasa mengikut program kerana tahap kemampuan mereka bukan yang
sebenar tetapi dilakukan dengan bantuan orang dewasa. Dengan itu, ia bukan sahaja
menyulitkan pelajar, malah pihak pengurusan dan tenaga pengajar juga turut mendapat
kesusahan kerana terpaksa berhadapan dengan pelajar yang tidak berkemampuan untuk
mengikuti modul-modul yang kami sediakan yang mencabar minda pelajar.
Klik di sini untuk
mengambil Ujian UKM1 PERMATApintar 2011
|